31 July 2011

Ahlan wasahlan ya Ramadhan!

Assalamualaikum wbt.

Malam ini kita bertemu kembali dengan bulan yang penuh keberkatan. Ramadhan al-mubarak. Seharusnya kita mengucapkan syukur kepada Allah kerana kita masih dapat bertemu Ramadhan. Kita masih diberi peluang membersihkan diri, melawan hawa nafsu, menambah amal jariah. Kita masih diberi kesempatan merasa lapar & dahaga hanya untuk sebulan disaat ramai lagi saudara seislam di luar sana yang merasa lapar & dahaga setiap hari.

Andai ada yang terlupa, elok lah diingatkan niat puasa. Kerana dari niat itu Allah mengira pahala & dosa. Dengan niat itu kita tahu apa yang kita kerjakan. Niat puasa itu seperti berikut.

Lafaz Niat Ringkas

نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala.

Lafaz Niat Lengkap

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

Sebenarnya, bangun untuk bersahur sudah dikira sebagai niat puasa.

Lafaz Niat Untuk Sebulan

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.


Setelah berniat, maka kerjakan lah ibadah puasa itu sebaik-baiknya seakan-akan kita tidak akan bertemu lagi Ramadhan. Beribadah lah sesungguh-sungguhnya kerana kita tidak tahu bila malaikat Izrail akan datang menjemput kita. Kerjakanlah tarawikh biar sesibuk mana pun kita. Biar seminimum mungkin juga tidak mengapa. Kerana hanya di bulan ini sahaja kita dapat mengerjakannya.

Dalam sibuk membeli juadah berbuka, jangan terlalu mengikut hawa nafsu. Mengawal hawa nafsu itu tidak terbatas ketika di siang hari sahaja. Sebenarnya di bulan inilah Allah mengajar kita erti susah, erti nikmat & erti syukur. Maka apabila kita berbuka, haruslah bersederhana. Elakkan membazir. Kita harus ingat kita berpuasa untuk kita merasai kesusahan saudara seislam yang lain. Ketika kita berpuasa, mereka juga berpuasa. Tetapi ketika kita berbuka dengan mewahnya, adakah mereka juga berbuka begitu? Entah-entah, hanya makan roti dicecah air masak. Beringatlah, ramai saudara kita hidup melarat di luar sana.

Di bulan ini juga, banyakkan lah bersedekah. Kerana sedekah itu antara yang menemani kita di alam barzakh. Zakat itu wajib. Maka tunaikan lah mengikut syarak. Jamulah anak yatim & fakir miskin, sesungguhnya itu lebih baik dari berbuka di hotel mewah. Banyakkan berzikir. Sesungguhnya ada ganjaran dari Allah buat umatnya yang bibirnya sentiasa basah dengan zikrullah & hatinya sentiasa mengingati Allah.

Sama-samalah menjadikan Ramadhan kali ini Ramadhan yang paling bermakna buat kita seolah-olah kita tidak akan bertemunya lagi. Amin.

30 July 2011

Welcome to India!

Assalamualaikum wbt.

Petang 24 Julai aku & keluarga berangkat ke KLIA. Hari itu bermula lah perjalanan hidup aku ke bumi India. Aku tinggalkan keluarga & rakan-rakan dengan linangan air mata pada malam itu. Terasa air mata mengalir laju ke pipi saat aku peluk erat ibuku. Sebak meninggalkan ibu yang terlalu rapat denganku. Deraian air mata makin laju ketika aku memeluk yang lain. Doakan pemergian aku ke mari selamat hendaknya. InsyaAllah kita bertemu lagi tahun hadapan.

Aku lihat seorang pramugari yang sudah berusia menimbang beg penumpang yang ingin masuk ke dalam pesawat ketika aku check in. Dalam hati aku berdoa agar Allah permudahkan urusan aku ke India ini. Aku lihat semakin ramai rakanku yang ditahan kerana membawa hand luggage melebihi had berat yang ditetapkan. Aku masih ingat, kami diberitahu oleh pegawai MAS ketika predeparture di JPA, berat hand luggage tidak boleh lebih 5kg, tidak termasuk beg laptop. Tapi saat itu, lain pula jadinya,. Pramugari itu menimbang keseluruhan beg kami. Termasuk beg laptop!

Ketika sampai giliranku, sekali lagi aku berdoa agar urusanku dipermudahkan. Pramugari itu mengarahkanku meletakkan setiap beg ku di atas atas penimbang. "Ok, 16kg. I'm not gonna charge you but you have to pick 1 bag to be put in the cargo since you bring 3 bags into cabin. You can only bring 2 bags." Alhamdulillah. Allah mudahkan urusanku. Namun masih ramai rakan yang terkandas. Mereka harus membayar sejumlah wang untuk lebihan berat itu. Walau bagaimanapun, kami semua dapat menaiki pesawat yang dijadualkan walau delay 20 minit.

Ini merupakan pertama kali aku menaiki pesawat. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa gerunnya aku ketika pesawat itu mula memecut membelah angkasa. Dengan gegaran yang agak kerap, aku semakin cuak. Mujur penerbangan itu pada waktu malam. Sekurang-kurangnya aku tidak gayat bila melihat awan biru & merasakan ketinggian itu. Yang aku lihat hanyalah gelap malam. Dan beralaskan lengan, aku lena sehingga tiba masa untuk mendarat.

Alhamdulillah kami selamat sampai di Bengaluru International Airport jam 1130 pm waktu India. Perjalanan mengambil masa 4 jam itu amat memenatkan. Namun apakan daya, kami hanya tidur di atas kerusi di Arrival Hall airport itu. Kami tidak dibenarkan keluar dari airport, memandangkan connecting flight kami ke Mangalore hanya beberapa jam lagi. Jadi kami hanya bermalam di airport. Aku juga sempat melelapkan mata, melepaskan penat.

Keesokan paginya, kami check in semula untuk terbang ke Mangalore. Semasa check in cargo luggage, sekali lagi kami berhadapan dengan masalah lebih berat cargo. Ada yang bernasib baik, berada di kaunter yang tidak mengambil kira lebihan berat itu, tapi ada juga yang kurang bernasib baik, berada di kaunter yang terlalu ketat soal lebihan berat. Jadi ada antara kami yang terpaksa sekali lagi mengeluarkan sejumlah wang untuk lebihan berat itu. Kawalan keselamatan di airport Bengaluru ini sangat ketat. Sehingga setiap inci tubuh juga diperiksa. Gunting yang aku simpan dalam beg laptop juga dirampas. Mungkin mereka perlu berhati-hati memandangkan Mumbai baru sahaja diserang tidak lama dahulu. Penerbangan kami menaiki 2 pesawat. Kingfisher & Jet Airways. Mereka yang menaiki Jet Airways terbang dahulu diikuti kami yang menaiki Kingfisher. Penerbangan mengambil masa 1 jam dari Bangalore.

Setibanya kami di Mangalore, kami disambut oleh senior-senior dari kolej masing-masing. Setelah diberi sedikit taklimat oleh Presiden MSAI Mangalore, kami dibawa ke kolej masing-masing menaiki bas. Dari Mangalore airport ke Yenepoya University mengambil masa kurang lebih 1 jam. Alhamdulillah, akhirnya kami selamat sampai ke kolej masing-masing.

19 July 2011

Nauzubillah..

Assalamualaikum wbt.

Baru selesai membaca sebuah artikel karangan seorang penulis blog amatur seperti saya juga. Melihat tajuknya sahaja, sudah membuatkan diri ini tidak sabar-sabar membacanya. Mahu tahu tentang apa?

Tentang Orphancare. Pernah dengar? Orphancare, sebuah intitusi yang memberi perlindungan kepada bayi-bayi malang. Sama ada bayi luar nikah, ataupun bayi daripada keluarga yang tidak mampu menjaganya. Sesiapa yang mahu meninggalkan bayinya, hanya perlu meletakkan bayi itu dalam 'box' yang disediakan. Dan kemudian pihak pengurusan akan cuba mendapatkan keluarga angkat untuk bayi-bayi tersebut.

Pada pandangan saya, urusan itu semudah ABC. Ya. Memang niat itu murni. Mahu menyelamatkan anak-anak yang tidak berdosa. Kerana yang silap itu ibu bapanya. Bukan bayi itu. Namun begitu, jika penyelesaian semudah ini, pasti penyebab berlakunya masalah ini tidak akan pernah selesai. Malahan mungkin boleh jadi lebih parah.

Mengapa? Bukankah sudah cukup bagus wujudnya pusat perlindungan seperti ini? Maka tidak adalah lagi masalah pembuangan bayi. Manusia tidak akan jadi lebih kejam dengan membunuh zuriat sendiri.

Ingatlah, jangan sesekali ambil jalan mudah. Niat tidak boleh menghalalkan cara. Kerana mahu menyelamatkan bayi-bayi itu, kita lupa bahawa pokok kepada segala masalah ialah kurangnya didikan agama. Umat Islam sendiri semakin tidak takut dengan hukum Allah. Memang betul kita tidak ada hak untuk menghukum tetapi kita ada hak untuk mengubah. Jika kita tidak mampu mengubah dengan tangan, kita harus mengubah dengan lidah. Jika tidak mampu mengubah dengan lidah, ubahlah dengan hati. Dan itulah selemah-lemah iman. Namun, cuba kita renungkan, adakah kita sudah cuba mengubah dengan tangan (kuasa)? Atau sudahkah kita cuba mengubah dengan lidah (menasihati)? Atau sekurang-kurangnya sudahkah kita cuba mengubah dengan hati (muhasabah diri)?

Adakah ini penyelesaiannya? Pada pendapat saya, situasi ini hanya mengundang kepada lebih banyak penzinaan. Kerana sesiapapun yang menghantar bayinya kesini, tidak dikenakan apa-apa hukuman. Mereka bebas menghantar bayi ke sini tanpa perlu banyak soal jawab.

Apa kita tidak lagi takut dengan azab Allah SWT?
Assalamualaikum wbt.

Semakin lama, aku semakin mengerti. Belajar daripada kehidupan. Memang banyak yang kita boleh pelajari daripada hidup ini. Ragam manusia. Ragam diri sendiri.

Aku marah. Marah pada orang tua ku sendiri. Hanya kerana sesuatu yang mula aku sayang. Aku tak sanggup kehilangan sesuatu itu. Namun aku tahu, aku tidak punya hak terhadapnya. Tapi aku sayang. Kerana orang tua ku sudah tidak mahukan ia, aku marah. Aku tidak menegur orang tua ku. Berdosanya aku.

Aku tahu semua itu. Namun sampai saat ini aku masih dingin. Kerana pada pendapatku itu satu keputusan tidak wajar.

Ya Allah, ampuni dosaku.

04 July 2011

Kita bertemu sekali lagi..

Assalamualaikum wbt.

Entry kali ni berkisar aktiviti aku hujung minggu lalu. Berprogram di Shah Alam bersama teman-teman seperjuangan & kakak-kakak penganjur program. Ada yang sudah bekerja, berkahwin, mempunyai anak, yang masih belajar pun ada. Program 'Ayuh 2011'. Khas untuk mereka yang bakal terbang ke India & Indonesia. Tapi yang tidak terbang ke sana pun masih boleh join.

Aku lah orang yang paling lewat tiba pagi itu. Terima kasih kak Ain Samad yang sudi pick di KTM. Sampai di perkarangan Masjid Negeri yang tersergam indah itu, aku lihat teman-teman ku dan rakan-rakan dari kolej lain sedang berkumpul untuk memulakan aktiviti. Syukur aku masih sempat mengikuti aktiviti mereka yang baru hendak bermula. Seronok sebab dah lama tak main. Rasa macam kembali ke zaman kanak-kanak dulu. Namun, semua permainan itu bukan sekadar hiburan, ada ibrah disebaliknya. Ibrah itulah yang mendidik hati-hati kami menjadi lebih baik & bersyukur dengan nikmat pertemuan yang telah Allah swt takdirkan.

Petang itu, kami dibawa ke Desantai Homestay. Rumah yang selesa buat kami menjalankan aktiviti seterusnya. Malam itu sangat berharga. Usai maghrib, aku turun untuk bersama-sama membaca ma'thurat. Ketika ingin duduk, aku perhatikan seorang wanita yang aku rasa aku amat cam susuk tubuhnya. Oleh kerana tidak memakai cermin mata, pandangan aku agak kabur. Namun, mungkin kerana wanita itu mengenaliku, dia melambai kearahku. Saat itu aku pasti. Dalam hati aku menjerit, 'Kak Syira!!' Dan akhirnya kami berpelukan & berlinangan air mata di tengah-tengah halaqah, dihadapan semua orang. Malunya!

Tapi malam itu aku sangat gembira. Gembira Allah mempertemukan aku dengan Kak Syira. Aku rindu padanya. Kerana kami sudah lama tidak bersua. Sungguh lama. Aku rindu usikannya, jenakanya, semangatnya semasa berdakwah, mendidik hati-hati kami, adik usrahnya. Aku rindu kamu, kak.

Orang kata, kalau gembira, pasti ada duka. Aku rasa ada betulnya. Kerana malam itu juga aku bersedih. Tidak pasti perkara itu terlalu besar atau penting untuk aku bersedih atau tidak. Yang pasti aku bersedih. Sampai saat aku menulis entry ini, aku masih bersedih. Memikirkan terlalu banyak hal. Memori yang terlalu banyak. Aku asyik bertanya, Ya Allah, kenapa Kau uji aku dengan perkara ini sekarang? Disaat aku lagi runsing memikirkan perihal ke luar negara. Disaat aku mesih belum mempersiapkan diri untuk terbang ke negara orang. Mengapa tidak dahulu lagi? Mengapa setelah sekian lama, baru sekarang perkara ini terjadi? Namun aku pasti ada hikmah disebaliknya, biarpun soalanku tidak berjawab. Aku redha ya Allah.

Ketika balik ke rumah, aku diuji lagi. Kali ini bas rosak. Sudah la dalam bas berhimpit, apabila bas rosak, terpaksa menunggu bas lain pula. Bas yang sampai itu pun sudah sedia penuh, ditambah lagi oleh kami, macam tin sardin jadinya. Namun aku tabahkan hati dengan harapan dapat pulang dengan selamat. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan, tiada perkara buruk berlaku, hanya setakat kaki dan bahu yang lenguh berasak di dalam bas.

Dan akhirnya aku selamat jua tiba di rumah malam itu biarpun agak lewat. Aku bersyukur padaMu ya Allah, Kau takdirkan aku pergi ke program itu. Sesungguhnya, hikmahMu itu sangat luas ya Allah. Alhamdulillah.