Assalamualaikum wbt.
Malam ini kita bertemu kembali dengan bulan yang penuh keberkatan. Ramadhan al-mubarak. Seharusnya kita mengucapkan syukur kepada Allah kerana kita masih dapat bertemu Ramadhan. Kita masih diberi peluang membersihkan diri, melawan hawa nafsu, menambah amal jariah. Kita masih diberi kesempatan merasa lapar & dahaga hanya untuk sebulan disaat ramai lagi saudara seislam di luar sana yang merasa lapar & dahaga setiap hari.
Andai ada yang terlupa, elok lah diingatkan niat puasa. Kerana dari niat itu Allah mengira pahala & dosa. Dengan niat itu kita tahu apa yang kita kerjakan. Niat puasa itu seperti berikut.
Lafaz Niat Ringkas
نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala.
Lafaz Niat Lengkap
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
Sebenarnya, bangun untuk bersahur sudah dikira sebagai niat puasa.
Lafaz Niat Untuk Sebulan
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
Setelah berniat, maka kerjakan lah ibadah puasa itu sebaik-baiknya seakan-akan kita tidak akan bertemu lagi Ramadhan. Beribadah lah sesungguh-sungguhnya kerana kita tidak tahu bila malaikat Izrail akan datang menjemput kita. Kerjakanlah tarawikh biar sesibuk mana pun kita. Biar seminimum mungkin juga tidak mengapa. Kerana hanya di bulan ini sahaja kita dapat mengerjakannya.
Dalam sibuk membeli juadah berbuka, jangan terlalu mengikut hawa nafsu. Mengawal hawa nafsu itu tidak terbatas ketika di siang hari sahaja. Sebenarnya di bulan inilah Allah mengajar kita erti susah, erti nikmat & erti syukur. Maka apabila kita berbuka, haruslah bersederhana. Elakkan membazir. Kita harus ingat kita berpuasa untuk kita merasai kesusahan saudara seislam yang lain. Ketika kita berpuasa, mereka juga berpuasa. Tetapi ketika kita berbuka dengan mewahnya, adakah mereka juga berbuka begitu? Entah-entah, hanya makan roti dicecah air masak. Beringatlah, ramai saudara kita hidup melarat di luar sana.
Di bulan ini juga, banyakkan lah bersedekah. Kerana sedekah itu antara yang menemani kita di alam barzakh. Zakat itu wajib. Maka tunaikan lah mengikut syarak. Jamulah anak yatim & fakir miskin, sesungguhnya itu lebih baik dari berbuka di hotel mewah. Banyakkan berzikir. Sesungguhnya ada ganjaran dari Allah buat umatnya yang bibirnya sentiasa basah dengan zikrullah & hatinya sentiasa mengingati Allah.
Sama-samalah menjadikan Ramadhan kali ini Ramadhan yang paling bermakna buat kita seolah-olah kita tidak akan bertemunya lagi. Amin.
No comments:
Post a Comment