Saya terpukul mendengar kata-kata seorang sahabat saya yang jauh diperantauan. Allah SWT telah memberikan saya seorang sahabat yang setia, yang sanggup menasihati diri ini dari terus lena dibuai mimpi. Terima kasih Allah..
Saya rasa terpukul kerana nasihat itu dahulu nya saya yang beri. Tapi sekarang nampaknya saya sendiri yang melakukannya. Benar katanya. Benar apa yang saya nasihati dulu. Alhamdulillah dia masih berpegang teguh pada nasihat itu. Malangnya, saya, si pemberi nasihat yang telah terlupa. Jauh tersesat di jalan yang terang. Jalan yang dahulunya saya sendiri telah suluh. Dengan ilmu dan iman. Ampunkan diri ini Ya Allah..
Masa dan keadaan sekeliling benar-benar menguji iman kita. Jika dahulu di sekolah, ada banyak program & peraturan yang diwujudkan, berjaya mengawal diri kita dari melakukan kemungkaran. Namun, sebaik sahaja kaki melangkah keluar dari alam persekolahan, diri sendirilah yang sepatutnya mewujudkan program & peraturan itu. Peraturan agar diri selamat melalui liku-liku hidup. Agar dapat sampai ke tempat yang sepatutnya. Syurga.
Dalam perjalanan itu, saya akui bukan mudah. Sangat sukar. Teramat payah. Andai tiada peraturan untuk diri sendiri. Hanya nasihat yang diperlukan agar diri tidak tersalah lorong. Tidak tersesat. Namun untuk nasihat itu datang, diri sendirilah yang perlu sedar dahulu. Nasihat boleh didapati dimana-mana sahaja. Waima di dinding-dinding pun ada nasihat. Tanpa perlu manusia sendiri yang menuturkan. Hati perlu ikhlas. Menerima pandangan manusia lain. Percayalah tiada siapa yang lebih mengenali diri sendiri melainkan orang lain. Terutama sekali sahabat & keluarga. Buka hati untuk sabar mendengar. Buka akal untuk memikirkan nasihat tersebut. Jika nasihat yang baik, ikutlah. Dan begitu juga sebaliknya.
Terima kasih sahabatku yang banyak memberi teguran. Aku akui diri ini sangat banyak terlupa. Terlupa akan janji & nasihat yang aku tuturkan sendiri. Andai tiada sahabat yang menegur, pasti aku sudah jauh tersesat dalam perjalanan menuju Jannah.
Alhamdulillah..Semoga Allah kekalkan ikatan persahabatan kita..