04 July 2011

Kita bertemu sekali lagi..

Assalamualaikum wbt.

Entry kali ni berkisar aktiviti aku hujung minggu lalu. Berprogram di Shah Alam bersama teman-teman seperjuangan & kakak-kakak penganjur program. Ada yang sudah bekerja, berkahwin, mempunyai anak, yang masih belajar pun ada. Program 'Ayuh 2011'. Khas untuk mereka yang bakal terbang ke India & Indonesia. Tapi yang tidak terbang ke sana pun masih boleh join.

Aku lah orang yang paling lewat tiba pagi itu. Terima kasih kak Ain Samad yang sudi pick di KTM. Sampai di perkarangan Masjid Negeri yang tersergam indah itu, aku lihat teman-teman ku dan rakan-rakan dari kolej lain sedang berkumpul untuk memulakan aktiviti. Syukur aku masih sempat mengikuti aktiviti mereka yang baru hendak bermula. Seronok sebab dah lama tak main. Rasa macam kembali ke zaman kanak-kanak dulu. Namun, semua permainan itu bukan sekadar hiburan, ada ibrah disebaliknya. Ibrah itulah yang mendidik hati-hati kami menjadi lebih baik & bersyukur dengan nikmat pertemuan yang telah Allah swt takdirkan.

Petang itu, kami dibawa ke Desantai Homestay. Rumah yang selesa buat kami menjalankan aktiviti seterusnya. Malam itu sangat berharga. Usai maghrib, aku turun untuk bersama-sama membaca ma'thurat. Ketika ingin duduk, aku perhatikan seorang wanita yang aku rasa aku amat cam susuk tubuhnya. Oleh kerana tidak memakai cermin mata, pandangan aku agak kabur. Namun, mungkin kerana wanita itu mengenaliku, dia melambai kearahku. Saat itu aku pasti. Dalam hati aku menjerit, 'Kak Syira!!' Dan akhirnya kami berpelukan & berlinangan air mata di tengah-tengah halaqah, dihadapan semua orang. Malunya!

Tapi malam itu aku sangat gembira. Gembira Allah mempertemukan aku dengan Kak Syira. Aku rindu padanya. Kerana kami sudah lama tidak bersua. Sungguh lama. Aku rindu usikannya, jenakanya, semangatnya semasa berdakwah, mendidik hati-hati kami, adik usrahnya. Aku rindu kamu, kak.

Orang kata, kalau gembira, pasti ada duka. Aku rasa ada betulnya. Kerana malam itu juga aku bersedih. Tidak pasti perkara itu terlalu besar atau penting untuk aku bersedih atau tidak. Yang pasti aku bersedih. Sampai saat aku menulis entry ini, aku masih bersedih. Memikirkan terlalu banyak hal. Memori yang terlalu banyak. Aku asyik bertanya, Ya Allah, kenapa Kau uji aku dengan perkara ini sekarang? Disaat aku lagi runsing memikirkan perihal ke luar negara. Disaat aku mesih belum mempersiapkan diri untuk terbang ke negara orang. Mengapa tidak dahulu lagi? Mengapa setelah sekian lama, baru sekarang perkara ini terjadi? Namun aku pasti ada hikmah disebaliknya, biarpun soalanku tidak berjawab. Aku redha ya Allah.

Ketika balik ke rumah, aku diuji lagi. Kali ini bas rosak. Sudah la dalam bas berhimpit, apabila bas rosak, terpaksa menunggu bas lain pula. Bas yang sampai itu pun sudah sedia penuh, ditambah lagi oleh kami, macam tin sardin jadinya. Namun aku tabahkan hati dengan harapan dapat pulang dengan selamat. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan, tiada perkara buruk berlaku, hanya setakat kaki dan bahu yang lenguh berasak di dalam bas.

Dan akhirnya aku selamat jua tiba di rumah malam itu biarpun agak lewat. Aku bersyukur padaMu ya Allah, Kau takdirkan aku pergi ke program itu. Sesungguhnya, hikmahMu itu sangat luas ya Allah. Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment